Thursday, August 13, 2015

Sentuh dan belah

Adakah anda sudah terdengar mengenai berita di bawah? Adakah anda kerap melalui Plaza-plaza tol yang tersenarai di bawah? Apa? Anda tidak lagi memiliki kad Sentuh dan belah (Touch & Go)? Kad anda telah dicuri oleh kucing anda? Atau mungkin kad anda sudah jatuh ke dalam longkang.
Jangan risau. Ikuti kisah saya di bawah. Anda mungkin tidak akan gabra lagi jika anda melalui Plaza-plaza tol di bawah walaupun anda tidak mempunya kad Touch & Go.


Kisah terjadi semasa perjalanan kami sekeluarga dari Penang ke Kemaman, Terengganu baru-baru ini. Elok saja sampai ke Plaza tol Bukit Tambun, baru aku perasan, "Alamak, kad tol tetinggal dalam kereta sport berkuasa rendah pulak. Lupa nak amik ar tadi". Abah aku cakap "Tak apa lah, kita bayar cash saja, bukan satu masalah pun nak bayar cash".

Perjalanan kami diteruskan menuju ke Sungai Buluh, Selangor dengan jayanya. Dalam sejam lebih duduk lepak kat rumah abang di Sungai Buluh, kami mahu meneruskan perjalanan ke Pahang. Mula-mula main hentam masuk jalan tu jalan ni, akhirnya, jalan memang betul tapi macam meraban jauh dan baru lah saya terhegeh-hegeh membuka Waze. Jadi, saya ikut sajalah perempuan Waze yang peramah tu punya arahan. Dia kata terus, aku terus, dia kata masuk simpang aku masuk simpang, dia suruh bayar tol, aku bayar tol oppppssssssss. 

"Eh, ada tol la kat depan, duit duit duit, cepat"

Aku memilih-milih lane yang aku nak masuk dari jauh. Eh Plaza tol mana pulak ni, macam pelik je rupa dia. Apasal semua tulis Smart Tag dengan Touch and Go je ni. Masuk je la mana-mana. Sampai giliran aku, aku pun menghulurkan duit.

"Cik, sini tak terima cash, semua Touch & Go je" Jurutol tu cakap sambil buat muka poyo sikit.

"OK, OK, tak terima cash eh, OK takpe" Aku masuk gear reverse, terus undurkan kereta ke belakang, memang aku tengok dari hujung sana sampai hujung sini tak ada tulis TUNAI langsung. Kami sekeluarga sudah gelabah. Habislah kita macam ni. Kita mana bawak kad Touch & Go. Macamana ni. Highway besar macam ni, mana boleh nak patah balik. Semua orang dalam kereta dan berpeluh-peluh sambil mengeluarkan hujah masing-masing yang tak dapat membantu apa-apa pun.

Nak tak nak, aku cuba je  masuk lane sebelah kiri. Aku cuba nasib lagi sekali, hulurkan duit dekat jurutol.

"Cik, sini cuma terima Touch & Go saja." Jurutol tu berkata

"Tapi cik, saya tak ada kad. Saya tak bawak kad, macamana nak guna. Kad ilek cik, ilek! Cuba cik bagi saya penyelesaian sikit." Aku bercakap dengan tenang sekali, dalam hati gabra bukan main. He he he.. Mesti budak tol tu cakap aku ni keluar dari hutan mana pun tak tau lah.

"Cik ada Mykad kan? Cik boleh topup Touch & Go guna MyKad cik" Jurutol tu bagitau.

Wohooooo..... IC eh? Mykad? Boleh eh...Mykad, ada ada ada.. Orang Malaysia mesti ada Mykad punya. Kalau tak ada, bukan orang Malaysia namanya. Tergagap-gagap aku sambil bukak dompet carik IC.
"Nah, ambil ni RM200, saya mau topup!"

Eh, tapi apa pasal jurutol lane sebelah tadi tak bagitau boleh topup guna Mykad? Ni aku tak puas hati ni. Dia tak menjalankan kerja dengan baik. Ataupun tak sempat dia nak bagitau aku suruh guna Mykad aku dah masuk gear reverse.

Kes selesai, sepanjang perjalanan kami pergi dan balik disemua plaza tol, kami menggunakan IC untuk bayar tol. Tak payah dah bersusah-susah nak beratur kat bayaran tunai.

Baru 2 hari lepas aku naik jambatan, dan masih lagi bayar guna duit yang aku topup haritu. Sekarang balance dah tinggal RM0.30. Nanti boleh la topup lagi.

Oh ya, untuk orang-orang Pulau Pinang, guna IC untuk Touch & Go, tak dapat rebat 20% iaitu RM5.60 kalau naik jambatan. Harapan tu jangan la tinggi sangat. Nak rebat? Sila la beratur di pejabat PBSB untuk buat kad Touch & Go untuk jambatan punya yer. Baik buat cepat-cepat sebelum 9 Sept.

Nota kaki: Ada sapa-sapa nak bagi hadiah kat aku pada 9 Sept nanti? Lesen memandu aku tamat tempoh haritu. Jangan lupa bagi hadiah yer. =P

No comments: