Thursday, August 20, 2015

Copy & Paste: Mimpi ngeri =P

Ini bukan cerita aku, ini #copypaste punya cerita..

"You bersiap sekarang. I on the way ambik you."
Zety mengajak aku keluar pergi makan malam bersama. Hati aku dah berbunga kembali. "Jangan-jangan dia dah syok kat aku." perasan aku sendiri dalam hati. Dan dia menyuruh aku dress up kemas dan semat. Gampang! Apa aku belum cukup semat ke selama ini? Aku menyarung seluar slek Dickies berwarna hitam dan berkemeja putih. Seluruh tubuh badanku disembur minyak wangi berjenama Hugo Boss dari leher hingga ke buku lali. Aku mahu Zety berasa sedap bila terbau tubuh badan aku yang mewangi. Padahal sebelum ini pergi keluar makan tengahari di kedai bawah rumah itu pun aku tak mandi.

"Mmm... Semat. Macam Zul Arifin. Eh, tak tak. Tak best. Macam Jason Statham. Haa!" aku bermonolog sendirian sambil cekak pinggang di depan cermin. Tiba-tiba telefon pintar aku pun berbunyi memainkan lagu Padi. "I dah kat bawah." sedapnya suara Zety sehinggakan aku rasa macam nak ke bilik air sekejap tapi aku batalkan niat bida'ah itu. Dengan pantas aku terus lincah turun.
Sampai saja di bawah, Zety berada di dalam kereta Proton Persona berwarna hitam melambai aku. Zety juga memakai dress serba hitam. Ya, aku bukannya suka menaiki kereta. Aku lebih selesa menunggang motorsikal Honda Ombakku. Tapi demi Zety, aku turutkan jua. Manakan tahu kalau dah qada dan qadar tertulis sekejap lagi Zety ingin memegang kepala gear, terpegang peha aku.

"Kita nak makan kat mana ni?" aku tanya dengan nada seperti pelakon drama. Zety pandang aku dan cuma senyum. Amboi, manisnya senyuman Zety. Lempang karang baru tau. "You ikut je." dia balas pendek. Aku pun seakan rela dibawa ke mana saja. Ingin saja tangan aku membelai rambut Zety di celahan telinga kirinya seperti di dalam video klip lagu-lagu rock jiwang, tapi aku risau ianya akan mengganggu corak pemanduan Zety dan boleh jadi akan menyebabkan kami berdua dress up serba putih jika berlaku kecelekaan.

Kami berdua pun sampai ke tempat yang dituju. Aku rasa pelik, kami bukanlah pergi ke sebuah restoran tapi tempatnya seakan di dalam dewan. Ada banyak meja bulat yang sudahpun dihidangkan makanan di atasnya. Ramai yang sudah duduk seperti menunggu waktu makan tiba. Kami mencari kerusi yang kosong untuk diduduki. Agak biadap pula jika kami duduk di atas riba orang. Orang ramai di situ pula semuanya pakai serba kemas. Ada yang berkot, ada yang bertali leher, ada yang berkemeja seperti seorang eksekutif. Aku mula rasa tak sedap hati. Tiba-tiba...

"APA KHABAR USAHAWAN LUXOR SEMUA?!"
Dan kesemua di dalam dewan itu bangun dan balas jawab serentak,
"LUAR BIASA BAIK!"

Aku terperangkap. Aku pandang Zety dengan rasa geram sehingga menggigil. Dan aku terus demam 2 hari akibat terlalu marah. Aku serik dengan insan yang bernama wanita lagi.

Nota Kaki: Aku ada pengalaman yang mengerikan jugak pasal Luxor ni. Nanti-nanti la cerita :)

Sunday, August 16, 2015

Initial D - Versi Penang - Chapter 2


Aidil Izwan seorang lelaki yang pintar, memperoleh Straight A’s dalam SPM dan STPM, paling meminati Fizik, Semua hukum, terminology, teori yang berkaitan Fizik Kinematik dan Dinamik, Quantum, termodinamik, Electicity dan Magnetik gelombang dan lain-lain lagi semua ada dalam otaknya. Sedangkan cikgu sekolahnya dahulu juga terasa tercabar apabila dia bertanyakan soalan-soalan yang cikgu pun tergagap-gagap nak cari jawapan. Pernah sekali ada seorang budak telah mencampuradukkan Hukum Newton pertama dan Hukum Newton kedua dan tetap nak mempertahankan jawapan dia tu. Hampir-hampir nak bertumbuk jugak. Nasib baik budak tu pelari pecut sekolah. Lintang pukang budak tu lari menyelamatkan diri. Kalau tak memang lebam biji mata dia. Teori Newton Kedua ataupun lebih dikenali sebagai Hukum Pecutan (F=ma) yang menyatakan bahawa kadar perubahan momentum satu jasad berkadar terus dengan daya paduan yang bertindak ke atas objek itu pada arah yang sama dengan arah tindakan itu. Hukum yang jelas. Suatu jasad berjisim yang dikenakan suatu daya bukan sifar akan mengalami pecutan. Inilah Hukum Newton kedua yang menjadi pegangan hidup dia dan Isaac Newton telah diangkat sebagai idola. Entah apa faedahnya, tak ramai yang tahu, tak ramai yang mengerti mahupun adiknya sendiri, Azwan Fitri.

Malam itu, dia tekun mengadap skrin komputernya.  Menganalisis teori-teori untuk mentransformasikan  keretanya sebagai sebuah mesen yang terpantas dan lebih dinamik. Untuk menjadi seorang jaguh jalanraya, skill pemanduan merupakan salah satu faktor tetapi spesifikasi dalam sesebuah mesen itu juga merupakan faktor yang penting. Hatinya tergugat apabila memikirkan mengenai Myvi merah semalam. Sebuah Myvi 1.3 L, manual transmission, Enjin Mitsubishi DOHC, 86 Kuasa Kuda pada 6000rmp. Tapi Myvi tu laju, memang laju. Tapi tak tentu hala. Tak ada arah tujuan. Dia tersenyum. Myvi, Myvi, ramai pemandu Myvi yang laju, tapi tak tentu hala, kereta standard tapi nak bawak pergi racing. Tak patut, tak patut. Dia tersenyum sendirian.

Tiba-tiba pintu biliknya di buka. Azwan Fitri masuk dan duduk di atas katil abangnya.

“Tadi aku ada terjumpa sorang mamat ni. Dia nak jumpa hang malam sabtu nanti. Nama dia Zaky Tuah,” Azwan Fitri membawa keluar nota yang ditulis oleh Zaky Tuah di atas bil pembayaran di Kayu Nasi Kandar siang tadi dari dalam dompetnya dan meletakkannya di atas meja abangnya. 

”Zaky Tuah?????” Muka abangnya itu berubah.


Zaky Tuah menyanyi kecil mengikut rentak lagu Flashlight dendangan Jessie J di dalam keretanya sementara menunggu Aidil Izwan muncul. Jam keretanya menunjukkan pukul 12.55 minit pagi. 

“And though the road is long
I look up to the sky
And In the dark I found, I stop and I won’t fly
And I sing along, I sing along, and I sing along”

"You're my flash light, you're my flash light
You're my flash light light light
You're my flash light light light
You're my flashlight”

Civic hitam dipakirkan dihadapan keretanya. Zaky Tuah tersenyum lebar. Orang yang ditunggunya sudah sampai. Masing-masing keluar dari perut kereta, Aidil Izwan menghampiri Zaky Tuah dan menghulurkan salam. Salamnya disambut, masing-masing menguntumkan senyuman sinis.

“Lama tak jumpa,” Aidil  Izwan memulakan bicara.

“Hmm.. betoi, 7 tahun dah tak jumpa, sejak lepas ambik result SPM. Aku malaih nak sembang banyak dengan hang. Aku mai sini sebab nak lumba, bukan berborak ”

”Cantik kereta hang. Nak lumba memang buleh. Tapi aku ada satu soalan nak tanya hang dulu. Kalau hang dapat jawab dengan betul, OK, kita lumba. Kalau tak, balik saja lah”

”OK, tak pa, apa soalannya?” Zaky Tuah tidak terkejut. Dia sudah dapat menyangka soalan apa yang akan keluar dari mulut Aidil  Izwan. Bagi saja soalan apa, semua dia sudah ready. Buku teks University Physics Young & Freedman 13th Edition dah ada semua dalam kepala. Buku dah direbus, diminum airnya. Kalau orang bagi soalan masa dia sedang tidur pun, dia boleh jawab lah.

”Soalannya senang saja, Daya geseran kinetik atau dinamik akan bergantung kepada 3 faktor, satu, daya tindakbalas normal jasad, kedua, sifat-sifat permukaan jasad dan ketiga, halaju relatif pergerakan jasad. Oleh itu  berapakah daya geseran kinetik yang  akan terhasil jika sebuah Civic yang berhalaju 160km/j bersentuhan dengan permukaan Evo X yang berhalaju sama?”

Zaky Tuah agak terperanjat mendengar soalan itu. 

”Ha haha, tak lah, aku main-main ja. Kata nak lumba kan. Jom, kita lumba, dari Teluk Bahang sampai Balik Pulau. OK? Pukul 2 kita mula. Jom gerak pi Feringgi dulu.” Aidil Izwan ketawa besar melihat perubahan muka Zaky Tuah.


Bermula dari Bulatan Teluk Bahang hingga ke Balik Pulau, kira-kira 20km jaraknya. Secara normal, sebuah kereta yang berkelajuan sederhana akan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke Ke Balik Pulau. Banyak faktor yang perlu diambil kira seperti faktor jalan yang merbahaya, sempit, gelap dan bengkang bengkok. Pukul 2 pagi, terlalu sedikit kenderaan yang melalui jalan tersebut. Bagi Aidil Izwan, jalan tersebut sudah terlalu biasa untuknya. Sudah tidak terkira berapa banyak dia berlumba di sana, tidak pernah kalah, tidak pernah berlaku kemalangan. Tetapi, ramai juga lawannya yang terbabas, tergesel dengan benteng tepi jalan. Tapi pada malam ni, hatinya kurang senang. Dia sendiri tak pasti, macam mana soalan tadi boleh terkeluar dari mulutnya. Otaknya ligat berfikir mengenai perkara itu, dia sepatutnya fokus dengan perlumbaan yang akan berjalan sebentar lagi.

Zaky Tuah mendahului. Evo X dihadapan. Tetapi, diikuti rapat oleh Civic. Kira-kira dua meter sahaja. Trottle ditekan, menambahkan lagi kelajuan. Zaky Tuah sedaya upaya mahu menjarakkan keretanya dari didekati oleh Aidil Izwan. Sudah lebih kurang 7km, Zaky Tuah berasa sedikit tertekan, Civic masih mengekori rapat. Dia sudah cuba semaksimum yang mungkin, jalan yang berbengkang bengkok itu agak payah untuknya menambahkan lagi pecutan keretanya. Halaju maksimum yang dipandunya hanyalah 140km/j, itupun dijalan yang agak lurus. Di kawasan bengkang-bengkok, dia hanya mampu memanddu selaju 100km/j sahaja. Itupun dia berusaha memberi 100% fokus terhadap pemanduannya untuk mengelakkan kereta terbabas. Sekali sekala mereka terserempak dengan kereta dari arah bertentangan. 

Berbeza pula dengan Aidil Izwan. Dia tenang mengekori Evo X itu. Masih belum masanya untuk dia menyerang, dan bertindak untuk memotong kereta dihadapannya itu. Dia sudah dapat mengagak yang Zaky Tuah bukanlah setanding dirinya. Dia jugak tertanya sendiri, mengapakan Zaky Tuah boleh terjerumus ke arena lumba-lumba kereta ni. Dia hanya menyangka yang Zaky Tuah itu cuma pandai berlari pecut di padang sekolah dan seterusnya boleh mewakili negeri, dan menjadi pelari pecut negara. Tapi rupanya salah sama sekali. 

”Zaky Tuah, Zaky Tuah. Kereta hebat tak menjanjikan kemenangan. Benda yang paling penting ialah skill. Skill, Zaky, lepas tu baru diikuti oleh kereta. Ni jalan aku, hang bawak lah kereta sehebat mana pun, kalau skill kurang, hang takkan menang,”Aidil Izwan bermonolog sendiri.

Sudah sampai masanya untuk dia bertindak, di selekoh di hadapan, dia akan memotong Zaky Tuah. Di situ lah tempat kegemarannya untuk menyerang pihak lawan. Dan dia tidak pernah gagal. Jalan di selekoh itu agak sempit, Aidil Izwan menambah halaju keretanya, memandu di arah jalan bertentangan, halajunya bertambah lagi, sekarang, keretanya sudah selari dengan kereta Zaky Tuah, dia cuba memandang Zaky Tuah yang berada betul-betul di sebelah keretanya, tetapi sia-sia, malam gelap pekat, Cuma diterangi cahaya bulan yang samar-samar. Tidak mungkin dia dapat melihat reaksi muka ZakyTuah pada ketika itu. Sekarang, keretanya sudah berada dihadapan. Kemenangan sudah berada di tangannya. Lagi 5km dihadapan ialah garisan tamat. Dia sangat berkeyakinan bahawa Zaky Tuah tidak mungkin akan dapat memotong keretanya lagi. 

Namun begitu, secara tiba-tiba, terdapat satu kereta Myvi yang berkelajuan tinggi datang dari belakang, menghimpit dan memotong keretanya, dia cuba sedaya upaya untuk mengawal setereng supaya tidak terbabas, dia menekan brek dengan kuat supaya dapat memperlahankan kereta dengan cepat. Zaky Tuah yang berada dibelakang juga tidak mampu untuk mengawal keretanya dan terkejut apabila halaju kereta Civic dihadapannya berkurang secara mendadak. Dia panik, brek ditekan kuat, tetapi malangnya dia sudah terlanggar bumper Civic. Kedua-dua kereta sudah terberhenti. Masing-masing berpeluh di dahi, mengingati semula apa yang terjadi sebentar tadi. Nyawa mereka hampir melayang. Nasib baik teknik dan pengalaman yang mereka ada mampu mengawal kereta sebaik mungkin walaupun perlanggaran tidak dapat dielakkan. Mereka berdua keluar dari kereta, dan memeriksa kerosakan kereta masing-masing. Bumper belakang Civic sudah rebeh. Bumper hadapan Evo X kemek agak teruk. Masing-masing mengurut kereta, dan mereka kedua-duanya ketawa. Entah apa yang diketawakan, boleh jadi ketawa tanda kekecewaan.

Mereka terduduk di atas tanah, di sisi kereta masing-masing.

”Mulut hang buleh tahan celupaq, kan? Eh, celupaq ka, masin?” Zaky berkata, kepalanya mengadah ke langit sambil badannya bersendar dia pintu kereta. Dia melemparkan kotak rokok kepada Aidil Izwan. Aidil Izwan menyambut, kedua-duanya menghisap rokok, keadaan sunyi, bening. Jam sudah menghampiri pukul 3 pagi. Hanya sekali sekala kenderaan melintasi mereka yang sudah tersadai di tepi jalan. 

”Ha ha, aku pun tak paham pasepa aku buleh cakap macam tu tadi. Mungkin ada instint
kut.” Setelah beberapa ketika, barulah Aidil bersuara.

”Hang ingat lagi kes hang nak tumbuk aku dulu, masa kita form 5? Aku masih ingat sampai la ni. Hah, cerita budak-budak. Bodoh betoi aku rasa. Tapi hang tau dak? Pasai kes tu, aku end up decide nak ambik degree in Physics. Aku ingat hang pun akan ambik kos fizik jugak, tapi aku silap rupanya. Hang ambik mechanical. Hah.. tapi aku tak regret. Sebab sekarang aku ada degree in Physics. Dan sudah semestinya sekarang, aku lebih terer fizik dari hang.”

“Hang confident lebih kan, Zaky. Dari dulu sama, tak berubah.”

“Hidup kita ni, confident mesti kena tinggi. Sebelum kita lumba pun aku dah tau, aku tak mungkin menang kalau lawan dengan hang. Tapi, aku kena yakinkan diri aku, apa pun tak mustahil akan terjadi. ” Zaky Tuah menyambung, ”Tapi sebenaqnya aku agak regret.”

”Tadi tak regret? Ni regret pasai apa pulak? Dari dulu sampai la ni sama ja. Cakap berbelit.” Aidil Izwan kurang berpuas hati.

”Ha ha ha, aku tak patut ambik kos fizik dulu. Aku ambik pun sebab hang. Aku tak mau kalah dengan hang. Memang aku puas hati aku ada degree in Physics, tapi hang tak dak. Tapi, kebanyakan coursemates aku dulu, semua jadi cikgu sains, cikgu fizik, cikgu math. Aku ni mana ada jiwa cikgu. Mana buleh jadi cikgu sekolah. Degree yang aku ada tu, aku cuma simpan dalam almari,” Zaky berterus terang, tiada apa yang diselindungkan.

”Habis tu, sekarang ni hang kerja apa? Aku dengaq hang sekarang dah tinggal kat Seberang.”

”A'ah. Aku dok BM la ni. Lepas grad dulu, aku menganggur. Lama jugak. Dalam setahun. Aku Cuma ada buat part time jadi cikgu tusyen kat rumah orang. Aku ajaq anak orang kaya. Dia tu jutawan MLM. Dia ajak aku join MLM. Alhamdulillah, dia train aku, bimbing aku, sekarang aku dah berjaya. MLM. Kalau buat betul-betul, kena cara, buleh kaya. Walaupun tak sekaya bapak hang, tapi aku puas hati. Hasil aku berusaha sendiri, walaupun terlalu ramai orang yang membenci MLM. Dengaq pasal MLM pun rasa nak maki. Aku hilang ramai kawan pasai benda ni. Tapi aku kata tak apa, aku sabaq. Aku yakin, benda tu dapat bagi rezeki kat aku. Tengok la sekarang, aku dah mampu pakai Evo. Tapi bila lumba, kalah pulak dengan hang, he he he,” dia bercakap sambil berseloroh. Puntung rokoknya dibaling ke tengah jalanraya.

”Kereta mahal ni tak menjamin kemenangan. Tengok la tadi, kita kalah. Kita berdua kalah dengan Myvi. Dengan Myvi tau. Ha ha ha.... Myvi...” dia berkata sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.  ”Kalau ikut logik, harga 5,6 bijik Myvi baru sama dengan satu Evo X. Tapi hang pikiaq, pasepa kereta tu lagi laju? Semuanya memerlukan skill. Kereta yang hebat, tapi dipandu oleh seorang driver ”P” pun tak mustahil akan kalah dengan pemandu kancil 660 yang dah memandu selama 20 tahun. Tak apa lah, hang practice kuat lagi. Bila hang rasa dah confident nak lumba dengan aku, hang carik la aku.”

”OK, aku simpan kata-kata hang ni. Dah lah tu, jom la kita balik.” Zaky Tuah mengajaknya pulang sambil bangun dari tempat duduknya dan mengibas-ngibas seluarnya yang berpasir sedikit.

Jom lah. Tapi sebelum balik, aku ada satu soalan untuk hang jawab."

"Soalan lagi? Ya lah apa soalannya?"

"Berapakah jumlah momentum yang terjadi apabila sebuah Evo X yang kurang pasti halajunya melanggar sebuah  Civic yang sudah mengurangkan kelajuannya menjadi 20km/j?"

BERSAMBUNG......

 

Friday, August 14, 2015

Mari Baca Buku: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Beberapa tahun lepas, kawan aku Aiza ada sebut pasal buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Dia cakap dah lama dia cari buku ni, baru sekarang dia jumpa. Aku memang tak ada idea langsung, buku ni cerita pasal apa. Mungkin pasal orang dalam kapal? Nama kapal pun macam ganjil semacam. Dia cakap ni buku lama, bahasa berpuitis.

Selepas beberapa tahun, aku teringat balik pasal buku tu, cuba-cuba la cari dekat kedai buku. Tapi tak jumpa. Tapi lepas aku dah terlupa pasal buku tu, tiba-tiba secara tak sengaja, aku ternampak buku tu dijual dekat Kedai Buku Hasani. Apa lagi. terus ambik, bawak pergi kaunter bayaran. Tak payah baca-baca sinopsis kulit belakang.

"Demikianlah perempuan, dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya,
walaupun kecil, dan dia terlupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walaupun bagaimana besarnya" - Hamka

Aku bukak saja mukasurat pertama buku ni, hati aku dah berdebar. Lain macam je aku rasa buku ni. Rasa seram sejuk pun ada. Tahun 1938? Oh, memang betul apa yang kawan aku cakap. Buku lama. Bahasa lama, bahasa berpuitis, berkias-kias, nak cakap pasal satu perkara je metaforanya seperenggan. Mula-mula aku baca, memang aku rasa sel sel otak aku yang kurang berhubung ni dan jadi tunggang-langgang nak interpret ayat-ayat, bait-bait yang dia nak ceritakan. Tapi, bila dah baca beberapa puluh  muka surat, aku rasa seronok, tak pernah aku baca bahasa-bahasa halus dan cantik macam ni.

Tapi, anda jangan terpedaya dengan tajuk buku ni. Buku ni bukan cerita pasal kapal sangat. Buku ni ialah buku cerita percintaan orang dulu-dulu. Orang zaman 30-an. Percintaan yang terhalang, jalan cerita dia bagi aku biasa saja. Tapi yang menarik, zaman dulu mana ada telefon, apa tah lagi sms, whatsapp, semua kena guna surat. Sekali dia hantar surat cinta, berkajang-kajang kertas. Dan surat dia mak datuk, kalau orang sekarang setakat hantar SMS "I love you" sebelum tidur, tapi yang ni, dia tak mungkin cakap secara straight to the point. Penuh metafora untuk menggambarkan yang dia tu dah jatuh cinta, kecewa, gembira, teruja, syok sendiri, bla bla bla.

Kepada sesiapa yang meminati sastera, memang patut beli, baca dan khatamkan buku ni. Walaupun aku ambil masa sampai dua minggu lebih nak habiskan buku 294 mukasurat ni, tapi aku tak rasa pun rugi membeli dan menghabiskan masa baca buku ni. Kepada siapa yang asyik suka sangat baca buku Suami ku bla bla bla, dan Isteriku bla bla bla tu, cuba-cuba la baca buku macam ni pulak. Sudah-sudahlah layan buku-buku macam tu.

Nota Kaki: OK, lepas ni nak cari buku Salina pulak. Entah ada jual ke tidak kat kedai buku.



Thursday, August 13, 2015

Sentuh dan belah

Adakah anda sudah terdengar mengenai berita di bawah? Adakah anda kerap melalui Plaza-plaza tol yang tersenarai di bawah? Apa? Anda tidak lagi memiliki kad Sentuh dan belah (Touch & Go)? Kad anda telah dicuri oleh kucing anda? Atau mungkin kad anda sudah jatuh ke dalam longkang.
Jangan risau. Ikuti kisah saya di bawah. Anda mungkin tidak akan gabra lagi jika anda melalui Plaza-plaza tol di bawah walaupun anda tidak mempunya kad Touch & Go.


Kisah terjadi semasa perjalanan kami sekeluarga dari Penang ke Kemaman, Terengganu baru-baru ini. Elok saja sampai ke Plaza tol Bukit Tambun, baru aku perasan, "Alamak, kad tol tetinggal dalam kereta sport berkuasa rendah pulak. Lupa nak amik ar tadi". Abah aku cakap "Tak apa lah, kita bayar cash saja, bukan satu masalah pun nak bayar cash".

Perjalanan kami diteruskan menuju ke Sungai Buluh, Selangor dengan jayanya. Dalam sejam lebih duduk lepak kat rumah abang di Sungai Buluh, kami mahu meneruskan perjalanan ke Pahang. Mula-mula main hentam masuk jalan tu jalan ni, akhirnya, jalan memang betul tapi macam meraban jauh dan baru lah saya terhegeh-hegeh membuka Waze. Jadi, saya ikut sajalah perempuan Waze yang peramah tu punya arahan. Dia kata terus, aku terus, dia kata masuk simpang aku masuk simpang, dia suruh bayar tol, aku bayar tol oppppssssssss. 

"Eh, ada tol la kat depan, duit duit duit, cepat"

Aku memilih-milih lane yang aku nak masuk dari jauh. Eh Plaza tol mana pulak ni, macam pelik je rupa dia. Apasal semua tulis Smart Tag dengan Touch and Go je ni. Masuk je la mana-mana. Sampai giliran aku, aku pun menghulurkan duit.

"Cik, sini tak terima cash, semua Touch & Go je" Jurutol tu cakap sambil buat muka poyo sikit.

"OK, OK, tak terima cash eh, OK takpe" Aku masuk gear reverse, terus undurkan kereta ke belakang, memang aku tengok dari hujung sana sampai hujung sini tak ada tulis TUNAI langsung. Kami sekeluarga sudah gelabah. Habislah kita macam ni. Kita mana bawak kad Touch & Go. Macamana ni. Highway besar macam ni, mana boleh nak patah balik. Semua orang dalam kereta dan berpeluh-peluh sambil mengeluarkan hujah masing-masing yang tak dapat membantu apa-apa pun.

Nak tak nak, aku cuba je  masuk lane sebelah kiri. Aku cuba nasib lagi sekali, hulurkan duit dekat jurutol.

"Cik, sini cuma terima Touch & Go saja." Jurutol tu berkata

"Tapi cik, saya tak ada kad. Saya tak bawak kad, macamana nak guna. Kad ilek cik, ilek! Cuba cik bagi saya penyelesaian sikit." Aku bercakap dengan tenang sekali, dalam hati gabra bukan main. He he he.. Mesti budak tol tu cakap aku ni keluar dari hutan mana pun tak tau lah.

"Cik ada Mykad kan? Cik boleh topup Touch & Go guna MyKad cik" Jurutol tu bagitau.

Wohooooo..... IC eh? Mykad? Boleh eh...Mykad, ada ada ada.. Orang Malaysia mesti ada Mykad punya. Kalau tak ada, bukan orang Malaysia namanya. Tergagap-gagap aku sambil bukak dompet carik IC.
"Nah, ambil ni RM200, saya mau topup!"

Eh, tapi apa pasal jurutol lane sebelah tadi tak bagitau boleh topup guna Mykad? Ni aku tak puas hati ni. Dia tak menjalankan kerja dengan baik. Ataupun tak sempat dia nak bagitau aku suruh guna Mykad aku dah masuk gear reverse.

Kes selesai, sepanjang perjalanan kami pergi dan balik disemua plaza tol, kami menggunakan IC untuk bayar tol. Tak payah dah bersusah-susah nak beratur kat bayaran tunai.

Baru 2 hari lepas aku naik jambatan, dan masih lagi bayar guna duit yang aku topup haritu. Sekarang balance dah tinggal RM0.30. Nanti boleh la topup lagi.

Oh ya, untuk orang-orang Pulau Pinang, guna IC untuk Touch & Go, tak dapat rebat 20% iaitu RM5.60 kalau naik jambatan. Harapan tu jangan la tinggi sangat. Nak rebat? Sila la beratur di pejabat PBSB untuk buat kad Touch & Go untuk jambatan punya yer. Baik buat cepat-cepat sebelum 9 Sept.

Nota kaki: Ada sapa-sapa nak bagi hadiah kat aku pada 9 Sept nanti? Lesen memandu aku tamat tempoh haritu. Jangan lupa bagi hadiah yer. =P